Kuala Lumpur : Malaysia muncul sebagai salah satu pasaran paling aktif di Asia Tenggara dalam peralihan kepada telur bebas sangkar, dengan penternak dan syarikat korporat beralih kepada dasar lebih lestari.
Menurut Prinsipal Kanan, Dasar dan Penglibatan Korporat, Humane World for Animals, Dr Saravanakumar S Pillai, momentum itu semakin ketara apabila pengeluar tempatan melabur dalam kemudahan moden avairi bagi pengeluaran telur bebas sangkar.
Katanya, rangkaian hotel dan pasar raya utama turut mengguna pakai polisi penggunaan telur bebas sangkar dalam operasi harian, selaras dengan permintaan pengguna yang semakin prihatin terhadap kebajikan haiwan.
"Sokongan kerajaan menjadi elemen penting dalam memperkukuh standard kebajikan haiwan, sekali gus memastikan Malaysia bergerak seiring arus global serta memenuhi tuntutan pengguna yang semakin peka terhadap isu ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Forum Kemajuan Pelaksanaan Telur Bebas Sangkar dan Anugerah Kepimpinan Industri 2025 di sini, baru-baru ini.
Forum yang menghimpunkan lebih 60 wakil daripada sektor penternakan ayam penelur, hospitaliti, peruncitan dan pembuat dasar bagi menilai kemajuan, berkongsi pengalaman serta meraikan peneraju industri dalam transformasi pengeluaran telur bebas sangkar.
Acara dianjurkan bersama Humane World for Animals dan Pertubuhan Pengeluar Telur Bebas Sangkar Malaysia (PPTBSM) itu turut menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara kedua-dua pihak dengan TC Poultry bagi menubuhkan Pusat Kecemerlangan Pengeluaran Telur Bebas Sangkar (CoE).
Pusat itu bakal berfungsi sebagai hab latihan praktikal, penyelidikan dan sokongan teknikal kepada penternak di seluruh negara.
Sementara itu, aktivis alam sekitar, Tan Sri Lee Lam Thye, menegaskan masa depan pengeluaran makanan mesti selari dengan kelestarian dan kebajikan haiwan.
"Dengan melaksanakan sistem bebas sangkar, Malaysia bukan sahaja melindungi kebajikan haiwan ternakan tetapi juga menjamin daya tahan bekalan makanan untuk jangka panjang," katanya.
Pada majlis sama, beliau turut melancarkan Papan Pemantauan Kemajuan Pelaksanaan Penggunaan Telur Bebas Sangkar, yang membolehkan pengguna dan pihak industri memantau komitmen korporat dengan lebih telus.
Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Norazman Ayob.
Antara syarikat yang menerima Anugerah Korporat ialah W Hotel, KLCC, Mandarin Oriental, Traders Hotel, Ascott International, Impiana KL dan Grand Hyatt KL, yang meneraju pelaksanaan komitmen penggunaan telur bebas sangkar.
Majlis itu turut meraikan penternak peneraju perubahan seperti TC Poultry, Huat Lai, Liang Kee, Food Fresh Goodness (India) dan NN Agriculture (Singapura), serta memberi pengiktirafan khas kepada penternak kecil progresif.
Sumber daripada: